Tuesday, June 3, 2008

TEKNIK 7B MENUJU BAHAGIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Ditulis oleh: Nurussobah Hussin


Kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan hati adalah nikmat yang terindah dalam kehidupan. Bagi meraih kebahagiaan, seseorang itu perlu meningkatkan daya ketahanan jiwa, tidak mudah tergoncang dengan kritikan, tidak gentar dengan halangan dan dugaan. Sesungguhnya setiap yang berlaku pada kita adalah apa yang telah ditakdirkan untuk kita dan adalah dengan kehendakNya...Kukuhkan hati dan kuatkan minda untuk berjuang menuju kebahagian yang diredhoi Allah. Berikut adalah diantaranya:

Beriman dan Beramal Solleh

Di dalam mengharungi resam kehidupan yang tidak lari dari ujian dan dugaan, kadangkala persoalan-persoalan seperti `kenapa aku sering diuji, kenapa rasa kecewa, bagaimana perlu aku menghadapinya dan mampukah aku menanggungnya' bermain difikiran. Namun, ketahuilah bahawa Allah swt sentiasa berada disamping orang-orang yang beriman.

Seperti firman Allah dalam surah Al Ankabut ayat 2-3:

" Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Surah Al Imran ayat 139 menerangkan:

" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman. "

Keimanan adalah rahsia kepada ketenangan dan keamanan manakala kebingungan dan kesengsaraan selalu mengiringi kekufuran dan keraguan. Di antara amalan solleh yang insyaAllah membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan adalah berzikir, melakukan solat sunat dengan kusyu’, membaca Al Quran, berpuasa sunat, bersedekah dan meringankan beban seorang muslim yang berada di dalam kesulitan.

Firman Allah dalam surah Al Fath ayat 18 yang bermaksud:

“… maka Allah mengetahui apa yang ada di hati mereka lalu Dia turunkan ketenangan atas mereka”

Firman Allah dalam surah Thaha ayat 123 yang bermaksud:

“… dan barangsiapa berpaling daripada mengingatiku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.”

Sabda rasullullah s.a.w yang bermaksud:

"Kenalilah Allah saat anda senang, nescaya Allah akan mengenali anda saat susah.”


Berilmu

Ilmu adalah ibarat pelita yang menerangi hati nurani, menghidupkan jiwa dan pemancu semangat. Ilmu mampu mengubah sesuatu yang tidak jelas, dan menyingkap sesuatu yang tersembunyi. Dengan ilmu, manusia akan memperolehi pengetahuan yang baru dan selalu ingin mengkaji pengetahuan yang lain. Dan hasilnya akan membawa kepada kepuasaan, keceriaan dan kebahagiaan.

Firman Allah dalam surah Hud ayat 46 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Aku mengingatkan kepadamu supaya kamu tidak termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan”

Firman Allah dalam surah Thaha ayat 114 yang bermaksud:

“… dan katakanlah: ‘YaRobbuku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan’ ”

Dengan ini, mencari ilmu amat penting dalam kehidupan kita. Ibarat pepatah "carilah ilmu sehingga ke liang lahat". Namun, jika pelbagai dugaan menghampiri diri ketika mencari ilmu dan ketika saat hampir menggapai kejayaan dan sepertinya segala yang diidam-idamkan tidak tercapai dan menjadi sia-sia, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengetahui betapa keras kita sudah berusaha dan segala yang berlaku, pasti ada hikmah disebaliknya.

Bersikap Optimis

Berfikiran positif dan bersikap optimis akan membawa kepada kekuatan, ketenangan, kebahagiaan, kesihatan yang baik dan sebagainya manakala berprasangka buruk akan merugikan hidup dan mengurangkan aura positif dan seterusnya akan membawa kepada kesedihan. Biar dugaan datang melanda, kita harus berjuang dari hasutan syaitan dan menerima dengan fikiran positif dan elakkan sifat berdendam dan membenci sesama manusia kerana ia akan membawa kepada kemusnahan kehidupan di dunia dan akhirat.

Orang yang solleh biasanya sangat optimis dengan masalah yang dihadapi dan biasanya mereka melihat sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmah disebaliknya. Abu Darda’ r.a. pernah berkata: Ada tiga perkara yang sangat dibenci oleh kebanyakan orang, namun aku menyukainya: Aku suka kefakiran, sakit dan kematian kerana kefakiran adalah ketenangan hati, sakit adalah penghapus dosa dan kematian adalah pertemuan dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

“… boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu…”


Bersabar

Di dalam mengharungi hidup yang penuh onak dan duri, kadangkala kita merasakan bahawa tidak mampu lagi menanggung ujian yang silih berganti. Namun, kita tidak punya pilihan lain melainkan bersabar... Dugaan tetap datang samada kita redho atau tidak...jika kita redho dan sabar...pahala dan keberkatan bersama kita dan sebaliknya.. Di dalam Al Quran ada menyebut. " Wahai orang orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebaikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih dari kesabaran musuh dan bersedialah serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). "

Oleh itu, kesabaran adalah kunci yang terbaik untuk menghadapi dugaan. Orang yang bersabar dalam menghadapi ujian, menerima semua ketentuan Allah, dan bersabar atas semua kesulitan, nescaya Allah akan menampakkan kepadanya kebaikan agar ia dapat memahami musibah yang tersembunyi disebaliknya. Umar b Al Khattab berkata: Dengan kesabaran, kita tahu makna kehidupan yang baik.

Firman Allah dalam surah Yusof ayat 110 yang bermaksud:

“… sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”

Firman Allah dalam surah Az Zumar ayat 10 yang bermaksud:

“ sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”


Bersyukur

Kebahagiaan akan dapat dirasai jika kita bersyukur di dalam kehidupan kita. Sifat yang sering tidak berpuas hati dan mencari kesilapan orang lain adalah sifat yang dilarang oleh Allah kerana tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah. Setiap kali kita terfikir dugaan yang Allah takdirkan pada kita...setiap kali itu jugalah cuba kita sirami dengan memikirkan nikmat-nikmat yang Allah telah berikan pada kita yang sebenarnya lebih banyak dari dugaan yang kita sangkakan sangat berat itu.

Orang yang bersyukur adalah orang yang paling menikmati hidup kerana mereka sentiasa ikhlas dan berterima kasih di atas nikmat yang Allah berikan. Sesungguhnya nikmat Allah tiada terbatas.

Firman Allah dalam surah Al A’raf ayat 144 yang bermaksud:

“… oleh itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan padamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur.”

Firman Allah dalam surah Adz-Dzaryat ayat 21 yang bermaksud:

“… pada diri kamu juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kamu tidak memperhatikannya?”

Berdoa

Sesungguhnya kebaikan Allah sangatlah dekat dengan kita kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan doa. Sebagai insan yang kerdil dan lemah, kita amat memerlukan pertolongan daripada Allah. Dengan ini, kita harus berdoa tanpa jemu dengan bersungguh-sungguh dan yakin suatu saat Allah akan memakbulkannya. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji. Rasullullah s.a.w pernah bersabda kepada Ali b Abi Thalib r.a: ‘Ucapkanlah doa’

Firman Allah dalam surah Al A’raf ayat 55 yang bermaksud:

“ Berdoalah kepada tuhan kalian dengan merendahkan diri dan dengan suara yang lembut”


Bertawakal dan Redha dengan ketentuan Allah

Persoalan: "Kepada siapa aku berharap?"

Jawapan: " Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadanya aku bertawakkal" (Surah At-Taubah ayat 129).

Insan yang berserah pada Allah dan redha hatinya akan dipandang mulia di sisi Allah dan seterusnya membuka pintu syurga dunia sebelum pintu syurga akhirat. Tawakal dan redha akan menciptakan ketenangan, hati yang ikhlas dan tabah didalam menghadapi permasalahan yang bertindih-tindih. Hati yang redha akan yakin sepenuhnya kepada janji Allah dan Rasulnya. Bagi orang yang tidak menerima keredhaan, kehidupannya akan tidak terurus, nasib yang selalu malang, dan musibah yang tidak juga berakhir.

Firman Allah dalam surah Al Ma’idah ayat 119 yang bermaksud:

“Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepadaNya.”

Hadith Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

“ kami tidak akan mengatakan, kecuali perkataan yang diredhai tuhan kami ”


Kuatkan keyakinan bahawa setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Jangan jadikan dugaan yang kita hadapi hari ini membawa kita kepada kemusnahan yang berkekalan. Jadikanlah dugaan hari ini sebagai peluang untuk kita mengumpul sebanyak mungkin pahala dan mengkaji kelemahan diri. InsayaAllah. Ambillah hikmah dari setiap kejadian dan insyaallah, suatu hari nanti kebahagiaan akan sentiasa bersama kita. Namun, adalah amat penting agar kebahagiaan yang dicari seiring dan seimbang diantara dunia dan akhirat agar kita dapat menjadi hambaNYa yang amat beruntung, bahagia dan berjaya di dunia mahupun akhirat. AMIN. Wallahualam.


Rujukan:

Al-Quran dan terjemahannya. (1412/2001). Madinah Munawarrah: Komplek Percetakan Al-Quran Khadim Al Haramain Asy Syarifain Raja Fad.

Ayidh b Abdullah Al-Qarni, Dr. (2005). Jangan Bersedih. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn Bhd

Nurussobah bt Hussin. (2006). Teknik Mengkritik Pelajar Secara Berkesan Menurut Perspektif Islam. Shah Alam: Unit Percetakan UiTM

1 comment:

hadzram said...

Tahniah atas usaha nurul...semuga sedekah kita ini kepada golongan pembaca akan dapat memberi banyak manafaat dan kalau diamalkan oleh mereka adalah lagi banyak kebaikannya...yang mungkin hari ni tak nampak..suatu hari byk kebaikannya kepada kita.

abang tak ada idea sbb malas nak buat rujukan...nanti ada masa boleh lah join kot...he..he..selamat berposa...letih ni.